PERUTUSAN HARI GURU 2012
KETUA PENGARAH PELAJARAN
MALAYSIA
“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan-tuan, puan-puan warga
pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,
1. Semenjak tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah diiktiraf
begitu signifikan dan diabadikan
menerusi ungkapan tema Hari Guru yang diraikan pada
16 Mei setiap tahun. Guru dipandang tinggi sebagai pemangkin
pembangunan negara, pembentuk generasi
dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara
di samping memacu kejayaan rakyat.
Guru yang melengkapi diri dengan
kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui mampu menjamin keberhasilan negara, antaranya guru yang inovatif dan kreatif teras kejayaan wawasan, guru berkesan pendidikan cemerlang, guru
berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru cemerlang negara terbilang.
2. Pada tahun ini, tema
“Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” telah dipilih sebagai galakan kepada guru menyuburkan
inovasi. Tema ini selaras dengan pengisytiharan oleh Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri Malaysia bahawa tahun 2012 merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi
Nasional. Sehubungan itu, amat wajarlah bagi para pendidik mempersiap diri
membudayakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti
koakademik serta kokurikulum di dalam dan di luar bilik darjah.
3. Sebagai golongan
profesional yang menjana dan menjuarai perubahan, kita perlu peka dan
bersedia memperlengkapi diri menjadi guru
yang inovatif. Guru yang inovatif berupaya menjana idea, konsep atau strategi
baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan
dalam menyampaikan ilmu kepada
generasi anak didik. Guru yang inovatif
juga berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen sintesis yang memudah dan melancarkan proses
pengajaran dan pembelajaran. Selain itu,
seorang guru yang inovatif juga mempunyai
tahap ketekunan yana tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun dan
mengurus idea secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan
pengetahuan baharu. Natijah
yang akan dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan bermaklumat
serta berinovatif dalam mempermajukan teknologi, berkebolehan mencerna dan
mengadaptasikan teknologi dan seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea.
Warga pendidik yang diraikan
sekalian,
4. Kesinambungan sistem pendidikan negara dimanifestasi melalui transformasi yang berbentuk dinamik dan progresif yang
akan direalisasikan oleh para
guru yang inovatif, proaktif, berdedikasi,
dan berdaya saing. Sehubungan itu,
Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan program
bina upaya untuk meningkatkan
amalan profesionalisme keguruan bagi menyokong usaha melaksana
transformasi pendidikan secara keseluruhan.
Objektif Pelan Pembangunan Profesionalisme
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan secara
khususnya bermatlamat melahirkan para pendidik
yang berwatak profesional, berkompeten dan berkesanggupan memikul amanah
yang lebih besar.
Warga pendidik sekelian,
5. Pelbagai ganjaran
disediakan dan inisiatif direncana
oleh pihak kerajaan bagi
memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha, misalnya melalui pemberian dan penganugerahan kepada warga
guru seperti dalam aspek perjawatan dan perkhidmatan. Anugerah dan beberapa penambahbaikan dalam skim perkhidmatan guru
menggambarkan keprihatinan kerajaan kita. Sesungguhnya perkara ini diharapkan
menjadi sebagai satu inspirasi dan dorongan kepada guru untuk terus memberikan perkhidmatan
yang effisyen dan cemerlang dalam dunia
pendidikan yang berkembang pesat di samping melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran
global.
6. Pihak kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan beban tugas
guru yang semakin bertambah dan rencam. Sehubungan itu, bermula pada tahun
2012, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG)
telah memberikan tumpuan kepada lima fokus utama bagi menangani isu beban tugas guru iaitu menambah
baik pelan operasi latihan tahunan untuk mengelakkan pertindihan kursus; menambahkan
staf sokongan untuk tugas perkeranian; mengurangkan bilangan jawatankuasa di
peringkat sekolah; mengurangkan bilangan ujian/peperiksaan dan
meningkatkan penggunaan ICT dalam
pengurusan sekolah dan pengajaran dan pembelajaran.
7. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili semua warga
pendidik di negara ini untuk menyatakan setinggi penghargaan dan ucapan terima
kasih yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan yang tidak pernah meminggirkan
kebajikan para guru. Keprihatinan berterusan oleh kerajaan ini merupakan
suntikan semangat agar warga pendidik terus
gigih, inovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas tanggungjawab melahirkan
generasi masa depan yang berjati diri, berdaya saing,
bertanggungjawab, berpegang teguh kepada
ajaran agama serta mengamalkan nilai sejagat.
Anak-anak murid yang
disayangi sekelian,
8. Saya yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh
para guru di samping tekanan yang dihadapi sedikitpun tidak melunturkan rasa kasih
dan sayang kepada anak-anak didik semua. Semua guru yang ada di hadapan
murid-murid semua adalah guru penyayang.
Kehadiran murid ke sekolah tentulah dengan harapan dan semangat untuk
menimba ilmu dan mempertingkat kualiti
diri. Setiap murid di mata dan hati
seorang
guru adalah permata yang
mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri. Jika digilap dan dikembangkan
potensinya nescaya akhirnya mereka dapat
menjadi individu dan warganegara yang berdaya saing, berfikiran kreatif dan kritis, berbudi pekerti mulia
dan sedar akan kepentingan
amalan berterima kasih. Sekiranya
ada antara murid-murid
yang ditegur oleh guru,
janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri kurang disayangi. Anggaplah para
guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang sentiasa mengambil berat dan
menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua.
9. Akhir kalam, besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi
sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi
penuh dedikasi, bertunjangkan
integriti dan berlandaskan etika
perkhidmatan. Selaku pencetus, penggerak
dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, warga
pendidik mempunyai
kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang tinggi oleh
masyarakat. Marilah kita teruskan amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban,
istiqamah dan semangat mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa.
Sebagai penutup, ingin saya titipkan mutiara kata Syeikh Muhammad Abduh, seorang tokoh
pendidikan di Mesir, “Kemuliaan ialah membangun umat yang telah binasa, membuka
selubung kebodohan mereka, memberi peringatan dan petunjuk (hidayah), menuntut
hak yang terampas, mengingatkan akan kemuliaan yang hilang, membangun umat dari tidur dan kelalaian mereka, serta
menyatukan suara untuk memperbaharui gerak langkah”.
WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI
SEKALIAN
TERIMA KASIH CIKGU … “SELAMAT
HARI GURU”!
DATO’ SRI ABD GHAFAR BIN
MAHMUD
Ketua Pengarah Pelajaran
Malaysia
Perutusan Hari Guru 201